Wednesday, November 18, 2009

17.40

dengan muka yang resah dan serba salah, seorang lelaki berumur pertengahan 30an menegur aku yang berjalan menuju ke kereta. dia kelihatan sungguh kusut berbeg silang seluar hitam dan tshirt biru yang lusuh. ayat yang mula terpacul dari mulutnya ialah assalamualaikum.

"demi allah bang, saya bukan nak menipu abang, demi allah kalau abang tak percaya, saya hanya nak balik rumah je," ujarnya dalam terketar ketar kesedihan.

katanya, dia baru saja dirampok di chowkit. niatnya hanya untuk bertemu rakan di hotel vistana yang terletak berhampiran pejabat aku. dia terus membebel bebel berluah tentang nasibnya hari ini yang tidak baik.

"saya kecik hati melayu kita, kalau ye pun tak percaya dan ingat saya penagih dadah, cakap saja yang takde duit untuk tolong saya. dia halau saya macam apa entah sedih saya bang." meneruskan cerita dengan mata yang bergenang dalam loghat utara yang agak rancak.

aku tersenyum berdiri tenang mendengar luahan insan yang malang itu. minda aku masih sedar dan waras yang hanya terkenangkan niat untuk bersedekah pada ibuku 20 langkah yang lalu sebelum dipertemukan dengan kisah ini.

"dah buat report polis?" tanyaku ikhlas dan peka kepadanya. kalau betul dia hanya ingin pulang dan tergesa gesa bertemu anaknya yang kelaparan, aku risau kalau tidak dilaporkan pada polis dia pula ditangkap di dalam perjalanan pulang kerana segala dompet dan mykad habis lesap.

dia terus kecewa dan menganggap aku tidak mahu menolongnya dengan alasan begitu. "bukan tak boleh tolong, saya risau kalau on the way balik nanti awak kena tangkap, langsung tak dapat jumpa anak awak sebab kena duduk dalam lokap," sambil aku membelek belek dompetku yang juga nipis sejak kebelakangan ini.

dia seolah olah putus harapan. aku hanya terbayang bumi ini bulat dan berputar. hari ini mungkin aku di atas dan besok tiada siapa yang tahu. "berapa tambang balik?" "17.40 bang."

aku membelek belek wang yang ada dan menghulur kepadanya 18 ringgit sambil berpesan untuk terus ke balai polis membuat laporan.

dia dengan terketar ketar dan gelabah mencapainya dari tanganku. aku hanya mampu tersenyum terngiang ngiang terbayang sudinya tuhan pencipta alam.

3 langkah aku berjalan dan kembali menoleh mencarinya, bayangnya telah tiada. tanpa sebarang ucapan kata yang ditinggalkan.

No comments:

Post a Comment