Monday, May 17, 2010

Industri Kreatif Ya Sangat

Kreativiti hari ini bagai di susun atur. Dibentuk bentuk dan diarah arah. Entah apa yang difahamkan lagi dengan perkataan keramat 'kreatif' itu hari ini. Berjalan dan bergerak atas peruntukan dan dana yang dilokasikan, industri ini semakin membosan dan memenatkan mata melihat.

Apatah lagi dengan masuk campur golongan pemimpin yang dilantik, diundi dan dipilih setelah layak mengisi borang di jabatan perkhidmatan awam ciptaan mereka sendiri. Mintak itu mintak ini arah itu arah ini mengikut piawaian yang ditetapkan oleh mereka yang memakai baju bercorak batik yang menghelip sesuka hati sesedap rasa.

Antara idea idea penaung penaung yang penat telinga untuk mendengar:
Mendekati mat rempit dengan penganjuran acara mengecat topi keledar bersama.
Penerbitan filem bercorak fiksyen keutuhan rakyat pelbagai bangsa mengikut bidang kaum.
Memainkan muzik indie mengikut trend sambil tidak meninggalkan budaya hidup.
dan banyak lagi...

Tolonglah bebaskan media.
Tolonglah bebaskan Industri Kreatif.
Ya La Sangat.

Friday, May 14, 2010

Kisah Selipar

Kisah yang cukup popular dan sinonim dengan ibadah umrah dan haji. Turut dilalui ketika aku di sana. Solat pertama iaitu Subuh di Masjid An Nabawi. Dalam nada kerek aku anggap seliparku diletak di masjid di kampung sahaja. Maksudnya apa yang nak dirisaukan. Inikan masjid dan yakin saja pada Tuhan dan tumpu pada ibadah.



Terdetik pula aku melihat jemaah yang membawa kasut masuk ke dalam ke tempat solat. Mengutuk itu tidak cuma memerhati saja dengan hati yang kosong tanpa kata. Selesai solat itu kami keluar. Aku ke tempat selipar aku di 'parking'. Ianya masih ada tapi bertukar pada selipar yang amat buruk berbanding selipar asalku. Namun warna tetap sama. Satu petanda atau kebetulan sahaja. Aku terus menyarung dan tertunduk diam berjalan pulang ke hotel.



Bercerita di dalam kamar kepada adik adik ipar. Mereka hanya tertawa dan tersenyum biasa. Mereka sudah lalui agaknya pengalaman sebegini sebelum ini. Tapi adik ipar aku gelak terlebih sedikit dari biasa. Nak dijadikan cerita selepas itu 4 pasang seliparnya hilang sepanjang kami berada di sana. Hati hati di hati dengan tutur laku kita demi kebaikan kita semua.

Wallahu'alam

Riak Di Kaabah

Balasan cash dari DIA. Yang Maha Mengetahui. Terlalu gembira buat kali pertama menjejak kaki di Mekah. Aku alpa dan tidak sengaja. Rombongan sampai sebelum Zohor dari Medinah yang telah berniat ihram di masjid Bir Ali.

Bertalbiyyah dalam nada khusyuk sepanjang perjalanan. Diri ini gembira bercampur sayu dan adakala terlalu ceria tidak sabar untuk tiba di Mukarammah yang mulia itu.

Selesai tawaf dengan kadar segera dan mudah membuatkan diri ini begitu bangga apatah lagi di depan rumahNya yang indah mulia. Kini menunggu giliran isteri menunai tawaf di kala aku meneman anak yang riang berlari lari.

Ketika tenang aku disapa oleh Tok Saudara yang kebetulan berjumpa di sana juga. Dunia yang luas bertemu kami di rumah Yang Esa. Disapa beliau selamba "mana yang lain?" Aku ceria menjawab semua selesai tawaf dan kini menuju saei.

Puji beliau "wahhh awal korang". Aku hanya tersenyum ceria membalas yakin "insyaallah kami nak selesaikan sebelum Asar." Katanya pula dia hanya terdaya membuat ibadah ibadah ini di kala malam yang kurang bahang panas. Aku hanya mengiyakan saja. Sambil bersalaman insyaallah bertemu lagi.

Ditakdirkan Ilahi penantian kami menunggu isteri selesai tawaf terasa amatlah lama. Hinggakan doaku ingin glamour dimakbulkan dengan ada warga Qatar yang datang menyapa dan mengambil foto katanya wajah aku mirip anak saudaranya. Sempat berborak borak agak lama dengannya tapi isteri langsung tak kunjung tiba.

Gelisah mula dirasakan langsung aku tanpa sabar mengheret anakanda menuju saei. Sangkaku isteri mungkin sudah ke sana. Tiba di saei aku terus melaksana. Di pusing kedua, kedengaran namaku dipanggil. Oh... ibu mertuaku di seberang sana. Dengan gaya isyarat seolah olah menunjuk isteriku menunggu aku di tempat tadi. Umpama silap aku yang tidak menunggunya.

Dengan segera aku ke sana kembali menunggu sambil takut dan resah diuji Yang Esa. Tunggulah aku dan anakanda di situ tanpa bertemu isteri. Sehingga satu waktu yang isteri serta bapa mertua muncul. Mereka selamat dan selesai melakukan saei rupanya. Hanya aku sorang saja yang belum.

Kali pertama menunai umrah, resah gelisah dan kabur aku tekad menyelesaikan saei. Tidak marah dan terus bersabar pantang ihram ku tetap jaga. Alhamdulillah hampir maghrib saei aku selesai dan aku terus berdiri di marwah untuk berdoa dan ingin bertahlul. Gembira bukan kepalang, sendirian aku berjaya kutempuh ujian dari Dia.

Toleh saja selepas berdoa, seorang remaja berbangsa tanah arab menawar aku untuk bertahlul. Aku gembira kerana dipertemukan dengan orang peramah terutama di Tanah Haram ini. Aku menghulur kepala untuk rambut ini dipotong. Sambil berdoa penuh khusyuk dan tawadhuk. Selesai saja acara aku berterima kasih sambil bersenyum lebar kepadanya.

"Fulus Fulus!" sergahnya padaku. Aku terkejut dan tergamam. "Sorry?" tanyaku. "Muslim?" tanyannya lagi. "Yes!" sah sah aku buat umrah sebab aku islam. Sabar je lah. "Haram! Haram!" Mungkin itu maksudnya jika aku tidak membayar upahnya memotong rambutku. Baru aku faham itu yang dia mahukan. Aku seorang diri di Bumi Mekah, Tanah Suci yang mulia diuji sebegini rupa. Goyang langsung iman aku sedikit. Harus diberi atau tidak fulusnya ini. "How much?" tanyaku. "50 riyal" katanya. Terkujat beruk aku di situ.

Maka berlakulah proses tawar menawar di situ. Aku juga sempat berbuat helah untuk pergi sahaja tetapi ditariknya dan terus meminta. Aku perbetulkan niat hati akhirnya. Kataku mungkin ini cara wang aku ingin disedekahkan di Mekah ini agaknya. Aku terus memberi wang ringgit Malaysia 50 ringgit dan terus beredar dari situ terpinga-pinga. Waktu hampir maghrib dan segera aku berjalan pulang keseorangan ke hotel.

Kembali ke masjid untuk maghrib dan isya' aku masih termenung dan terkenang peristiwa menanti isteri, saei yang lewat dan tahalul berbayar. Aku terus terdetik itu hanya kesilapan aku ketika bertutur di depan kaabah siang tadi bersama Tok Saudara. Terdetik sedikit riak ketika aku berbicara memberitahu bangga yang ibadah tawaf dan saei akan diselesaikan kami semua sebelum Asar. Siapa aku untuk tahu bila mana waktu dan apa yang akan berlaku.

Tergamam aku bila setiap kali teringat kisah ini dan kerana ini aku amat dan sangat mengerti istilah TUHAN BAYAR CASH DI DUNIA terutama di Tanah Haram ke atas apa yang diniat, ditutur dan dilakukan oleh kita.

Nauzubillahiminzalik ... Wallahu'alam.

Thursday, May 13, 2010

Pengalaman Umrah

Diri hina ini segan untuk bercerita sebenarnya... takut dikata riak atau menunjuk-nunjuk pula. tapi jiwa membuak buak kerana tiada pengalaman seindah berada di Tanah Haram Medinah dan Makkahtul Mukarramah.

Kali pertama seumur hidup mendapat rezeki untuk ke sana. Syukur alhamdulillah bertubi tubi dari aku. Bertolak dalam nada sederhana juga kerana segan jika ada dugaan tidak jadi malu menutup muka.

Kaki meletak di medinah. Hati sayu suci merindu tak tahu kenapa. Bersyukur lagi kerana berpeluang bersolat di masjid mulia an nabawi. Bersemuka dengan makam rasul dan sahabat. Bersujud di taman syurga bernama Raudha. Indah bukan kepalang.

Melangkah keluar menuju Mekah. Rindu meruntun teringat Nabi. Hati sayu meninggal Baginda untuk berjuang di Baitul Allah. Hati kosong mengingat Tuhan. Tiada dunia tiada pilihan. Berkobar kobar berdebar debar. Impian doa harap dimakbulkan.

Menangis hati ini teresak-esak. Tak tahu kenapa keliru pun ada. Menuju Mekah melambai lambai. Mengucap-ucap Labbaikallah Hummalabbaik.

Tiba di Tanah Haram yang Suci itu. Air mata menitis umpama kagum umpama dungu. Tidak pernah tersangka, adalah rezekinya untuk diri ini sampai dijemput ke Rumah Mulia Yang Maha Esa. Mengenang diri yang paling hina. Kotor segala tetap diterima.

Mulut ini dijaga rapi takut tersasul menjilat api. Bila mata bertentang Dia, Kaabah Allah Yang Maha Kaya. Mulut kelu tidak terkata. Tidak percaya jasad busuk ini diterima juga. Ampunkan aku ampunkan aku. Kau Maha Kuasa Kau Maha Kuasa. Hanya itu yang mampu dikata. Kaku kaku tidak terkira.

Teruskan amal teruskan jasa padaMU yang Satu aku berlaku. Hati hanya gerun memberi tumpuan sepenuh-penuh.