Friday, May 14, 2010

Riak Di Kaabah

Balasan cash dari DIA. Yang Maha Mengetahui. Terlalu gembira buat kali pertama menjejak kaki di Mekah. Aku alpa dan tidak sengaja. Rombongan sampai sebelum Zohor dari Medinah yang telah berniat ihram di masjid Bir Ali.

Bertalbiyyah dalam nada khusyuk sepanjang perjalanan. Diri ini gembira bercampur sayu dan adakala terlalu ceria tidak sabar untuk tiba di Mukarammah yang mulia itu.

Selesai tawaf dengan kadar segera dan mudah membuatkan diri ini begitu bangga apatah lagi di depan rumahNya yang indah mulia. Kini menunggu giliran isteri menunai tawaf di kala aku meneman anak yang riang berlari lari.

Ketika tenang aku disapa oleh Tok Saudara yang kebetulan berjumpa di sana juga. Dunia yang luas bertemu kami di rumah Yang Esa. Disapa beliau selamba "mana yang lain?" Aku ceria menjawab semua selesai tawaf dan kini menuju saei.

Puji beliau "wahhh awal korang". Aku hanya tersenyum ceria membalas yakin "insyaallah kami nak selesaikan sebelum Asar." Katanya pula dia hanya terdaya membuat ibadah ibadah ini di kala malam yang kurang bahang panas. Aku hanya mengiyakan saja. Sambil bersalaman insyaallah bertemu lagi.

Ditakdirkan Ilahi penantian kami menunggu isteri selesai tawaf terasa amatlah lama. Hinggakan doaku ingin glamour dimakbulkan dengan ada warga Qatar yang datang menyapa dan mengambil foto katanya wajah aku mirip anak saudaranya. Sempat berborak borak agak lama dengannya tapi isteri langsung tak kunjung tiba.

Gelisah mula dirasakan langsung aku tanpa sabar mengheret anakanda menuju saei. Sangkaku isteri mungkin sudah ke sana. Tiba di saei aku terus melaksana. Di pusing kedua, kedengaran namaku dipanggil. Oh... ibu mertuaku di seberang sana. Dengan gaya isyarat seolah olah menunjuk isteriku menunggu aku di tempat tadi. Umpama silap aku yang tidak menunggunya.

Dengan segera aku ke sana kembali menunggu sambil takut dan resah diuji Yang Esa. Tunggulah aku dan anakanda di situ tanpa bertemu isteri. Sehingga satu waktu yang isteri serta bapa mertua muncul. Mereka selamat dan selesai melakukan saei rupanya. Hanya aku sorang saja yang belum.

Kali pertama menunai umrah, resah gelisah dan kabur aku tekad menyelesaikan saei. Tidak marah dan terus bersabar pantang ihram ku tetap jaga. Alhamdulillah hampir maghrib saei aku selesai dan aku terus berdiri di marwah untuk berdoa dan ingin bertahlul. Gembira bukan kepalang, sendirian aku berjaya kutempuh ujian dari Dia.

Toleh saja selepas berdoa, seorang remaja berbangsa tanah arab menawar aku untuk bertahlul. Aku gembira kerana dipertemukan dengan orang peramah terutama di Tanah Haram ini. Aku menghulur kepala untuk rambut ini dipotong. Sambil berdoa penuh khusyuk dan tawadhuk. Selesai saja acara aku berterima kasih sambil bersenyum lebar kepadanya.

"Fulus Fulus!" sergahnya padaku. Aku terkejut dan tergamam. "Sorry?" tanyaku. "Muslim?" tanyannya lagi. "Yes!" sah sah aku buat umrah sebab aku islam. Sabar je lah. "Haram! Haram!" Mungkin itu maksudnya jika aku tidak membayar upahnya memotong rambutku. Baru aku faham itu yang dia mahukan. Aku seorang diri di Bumi Mekah, Tanah Suci yang mulia diuji sebegini rupa. Goyang langsung iman aku sedikit. Harus diberi atau tidak fulusnya ini. "How much?" tanyaku. "50 riyal" katanya. Terkujat beruk aku di situ.

Maka berlakulah proses tawar menawar di situ. Aku juga sempat berbuat helah untuk pergi sahaja tetapi ditariknya dan terus meminta. Aku perbetulkan niat hati akhirnya. Kataku mungkin ini cara wang aku ingin disedekahkan di Mekah ini agaknya. Aku terus memberi wang ringgit Malaysia 50 ringgit dan terus beredar dari situ terpinga-pinga. Waktu hampir maghrib dan segera aku berjalan pulang keseorangan ke hotel.

Kembali ke masjid untuk maghrib dan isya' aku masih termenung dan terkenang peristiwa menanti isteri, saei yang lewat dan tahalul berbayar. Aku terus terdetik itu hanya kesilapan aku ketika bertutur di depan kaabah siang tadi bersama Tok Saudara. Terdetik sedikit riak ketika aku berbicara memberitahu bangga yang ibadah tawaf dan saei akan diselesaikan kami semua sebelum Asar. Siapa aku untuk tahu bila mana waktu dan apa yang akan berlaku.

Tergamam aku bila setiap kali teringat kisah ini dan kerana ini aku amat dan sangat mengerti istilah TUHAN BAYAR CASH DI DUNIA terutama di Tanah Haram ke atas apa yang diniat, ditutur dan dilakukan oleh kita.

Nauzubillahiminzalik ... Wallahu'alam.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. aik,saya pun baru pg..tp xde lak nampak orang mintak upah utk bertahlul...adik saya tolong ngan ikhlas ade la...
    pape pun tahniah buat kita kerana tlah selamat pergi n pulang ngan selamat.ameen

    ReplyDelete